Label

,

Salam Sejahtera Pembaca Atoqa,

Kalau tak silap saya, sudah beberapa kali saya menulis tentang ini tetapi kali ini mahu menyentuh secara khusus tentang lokasi. Bila kita sebut lokasi, maknanya ialah tempat yang bagus dan strategic yang boleh mempengaruhi harga sesuatu hartanah. Saya percaya anda yang sudah biasa dengan perkara ini tentu arif dan maklum tentang pentingnya memilih lokasi yang bagus dan strategic.

Lokasi ialah faktor kritikal dalam hartanah. Lokasi yang baik boleh meningkat nilainya berkali-kali ganda. Kadang saya terfikir, mungkin nasib atau takdir juga menentukan jumlah keuntungan  dalam hartanah. Lihat, saya gunakan perkataan kadang-kadang, bukan selalunya. Manakala peluang untuk rugi dalam hartanah adalah amat sedikit. Ini disebabkan ciri-ciri yang ada pada hartanah itu sendiri. Kalis inflasi, risiko yang rendah dan sebagainya. Lagipun hartanah ialah tangible asset, anda boleh pergi memijak-mijak tanah anda, bercucuk tanam, berekreasi untuk mengeluarkan peluh, membina rumah di atasnya, bina gudang ke..pendek kata anda boleh buat apa sahaja di situ. Di situ. Walaupun hartanah anda dibakar atau dibom, ia tetap ada di situ dan tetap mempunyai nilai. Dibom pun masih ada nilai. Ha, nak apa lagi?

Tapi, macam topic kita tadi, nilainya bergantung kepada lokasi. Memilih hartanah yang berada pada lokasi yang strategic bukan mudah, tapi tidak susah.

Jika kita ingin membeli hartanah, dan berhasrat untuk membangunkannya, pilihlah lokasi yang bagus. Jika ia terletak di tepi jalan yang mempunyai trafik yang tinggi, dan di kawasan tersebut tidak mempunyai stesen minyak, maka anda boleh mulakan perniagaan stesen minyak (dengan syarat ia mempunyai keluasan yang secukupnya. Sudah tentu ia mempunyai nilai yang lebih tinggi. Atau kawasan tersebut sedang pesat membangun dengan banyak rumah-rumah kedai atau gudang baru ditubuhkan, maka sudah tentu anda pun akan bina rumah kedai. Semua ini menentukan harga. Semakin tinggi permintaan di kawasan tersebut, maka harganya juga semakin tinggi. Dahulu, sewa sebuah rumah kedai berhampiran rumah saya ini lebih kurang RM300 sebulan, sekarang dah naik sehingga RM1000 sebulan dan ada yang mencecah RM3000 sebulan. Sebabnya ialah lokasinya yang terletak berhampiran pasar.

Lokasi yang baik biasanya mempunyai kemudahan asas yang cukup. Seperti berhampiran stesen bas, berdekatan pasar, Masjid, sekolah, di tepi jalan raya atau mempunyai jalan menuju kepada hartanah anda.

Hartanah yang berada di tepi jalan raya yang sibuk mempunyai nilai yang lebih tinggi dan lebih peluang untuk mendapatkan lebih capital gain. Beberapa bulan lalu, umi saya membeli satu hartanah yang menjadi rebutan beberapa orang. Ramai yang berkehendakkan hartanah tersebut, tetapi dapat kat umi saya juga. Adalah teknik dan caranya, yang tu lain kali kita cerita. Hartanah tersebut mempunyai ciri-ciri yang benar-benar sempurna, siap ada tiga buah gudang dan penyewa lagi. Hahaha maka berbungalah hati umi saya. Beberapa hari kemudian, seorang lelaki datang menawarkan untuk membeli hartanah tersebut dan dengan untung RM30K. Sebab itu, saya kata (dan saya percaya orang lain juga kata macam tu) bahawa faktor kritikal hartanah ialah lokasi.

Tetapi, macam yang kita sedia maklum, bukan mudah untuk mendapat hartanah dengan lokasi yang bagus dalam keadaan hari ini. Iaitu dah ramai orang sedar dengan potensi pelaburan hartanah.

Lebih kurang dua tahun dahulu di negeri Kelantan, ada spekulasi mengatakan Universiti Malaysia Kelantan (UMK)  akan ditubuhkan. Desas-desusnya mungkin ia dibina di Pengkalan Chepa atau mungkin di Bachok. Hartanah di Bachok kini sudah naik harganya (kampus sementaranya di Pengkalan Chepa dan kampus Induknya bakal dibina di Bachok). Ketika awal desas-desus itu, hartanah di kawasan tersebut jauh lebih murah berbanding sekarang. Macam saham gak lah, apabila ada khabar angin atau berita baik tentang sesuatu saham, maka ramailah orang berminat untuk membeli saham tersebut. Apabila tinggi permintaan, maka harga saham akan naik. Hartanah pun sama juga lah dengan saham. Selepas UMK ditubuhkan, saya percaya hartanah di situ akan lebih mahal harganya.

Jadi, selepas ini jika anda mendapati ada khabar angin (pastikan khabar angin ini mempunyai asas yang kukuh) mengatakan kawasan tersebut akan dibangunkan, cepat-cepat dapatkan hartanah di situ sebelum harganya naik lebih tinggi. Jika projek pembangunannya batal sekalipun, anda masih tidak rugi.

Saya menulis begini berdasarkan pengalaman saya sendiri.