Salam Sejahtera Pembaca Atoqa,

Macam yang biasa kita dengar, pengurusan kewangan yang betul amat penting untuk dapat kebebasan kewangan. Dah ramai orang tulis tentang aspek pegurusan kewangan terutamanya dalam hal kewangan peribadi ni. Dan bila bercakap pasal pengurusan kewangan, kad kredit muncul sebagai sub-topiknya.

Hari ini, boleh dikatakan majoriti orang menggunakan kad kredit untuk pelbagai kegunaan. Menggunakan kad kredit tak salah, dan memang pun kalau diikutkan kad kredit ialah salah satu keperluan. Iyelah, sekarang ni tak seselamat dahulu, mana boleh bawa wang tunai banyak-banyak. Kes-kes samun dan seluk saku makin menjadi-jadi. Cuma yang harus diberi penekanan ialah cara penggunaannya.

Saya ada menonton satu realiti tv (lupa pula rancangannya) tentang ini. Satu pasangan ini mempunyai 8 kad kredit. Mereka awalnya mempunyai satu kad kredit. Kemudian memohon kad kredit kedua untuk bayar hutang kad kredit pertama, mohon kad kredit ketiga untuk bayar hutang kad kredit kedua…dan seterusnya sehinggalah mereka menggunakan kad kredit ke lapan (tapi ini bukan kes di Malaysia). Pasangan itu mula takut sebabnya berdasarkan kiraan mereka akan bankrup dalam tempoh beberapa tahun sahaja. Aaah, itu bukan di Malaysia.

Ini pula yang berlaku di Malaysia, lebih tepat di negeri Kelantan. Seorang lelaki ini, saya namakan beliau Marzuki lah (bukan nama sebenar beliau), beliau memberitahu bahawa beliau mempunyai 14 kad kredit. Rupanya di Malaysia ada kes lagi hebat. Bukan dia yang cari tapi agen kad kredit itu yang menawarkan kepada beliau. Dan silapnya beliau tidak menolak sebaliknya menerima sahaja. Akhirnya, beliau kini dibelenggu hutang keliling pinggang dan terpaksa melakukan part-time job untuk bayar hutangnya.

Dua cerita ini memang ada persamaan, iaitu pengurusan kewangan yang tidak betul, atau penggunaan kad kredit yang betul-betul tidak betul.